BREAKING NEWS
latest

728x90

header-ad

468x60

header-ad

PSB ada 82 calon heavyweight?


KUCHING: Parti Sarawak Bersatu (PSB) menghantar isyarat awal bertanding 82 kerusi pada pilihan raya negeri tidak lama lagi.

Lebih menarik PSB bakal mempertaruhkan bekas Menteri Persekutuan dan negeri, bekas Timbalan Menteri Persekutuan, Ahli Parlimen, ADUN dan bekas ADUN.

PSB mempunyai calon-calon berpotensi untuk bertanding di banyak kerusi, termasuk penyandang kerusi sedia ada iaitu Soon Koh (ADUN Bawang Assan), Datuk Masir Kujat (Ahli Parlimen Sri Aman), Datuk Ranum Mina (ADUN Opar) dan Tiong Thai King (ADUN Dudong).

Selain itu, semua calon PSB juga adalah profesional dalam pelbagai bidang seperti bekas pegawai kanan kerajaan, pengarah, peguam, doktor, profesor, jurutera, konsultan, ahli perniagaan dan banyak lagi.

Presidennya Dato Sri Wong Soon Koh menegaskan, PSB adalah sebuah parti besar yang bebas dan boleh menentukan untuk bertanding di mana-mana kerusi, tidak seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) atau Pakatan Harapan (PH) yang perlu membahagikan kerusi.

Beliau berkata, dia telah menarik diri daripada menyertai kabinet Sarawak dan keseluruhannya PSB menjadi sebagai parti bebas.

"Pada PRN12 nanti, PSB akan bertanding di mana-mana kawasan yang kita harap dapat menang.

"Kita boleh bertanding di 50, 60 atau semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak. Kita akan menyaksikan bendera-bendera PSB berkibar di pelusuk negeri dan luar banda," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sambutan Tahun Tikus (Tahun Baru Cina) PSB di KTS Garden semalam.

Soon Koh berkata, PSB adalah parti tempatan dan kesemua pengasas dan ahli parti adalah terdiri daripada anak-anak Sarawak dari berbilang kaum, agama dan budaya.

Katanya sekarang PSB telah menerima banyak permohonan dari pelbagai kaum yang berminat untuk menjadi calon dan sedang meneliti keupayaan mereka.

"Sekarang PSB adalah sebuah parti yang besar dengan pemimpin dan ahlinya dari pelbagai kaum iaitu Iban, Orang Ulu, Melayu, Melanau dan Cina.

"Kalau diberi kuasa, kita akan bekerja keras untuk keadilan, ekonomi, keseimbangan sosial terutama berkaitan perkhidmatan awam, pendidikan dan latihan, permit dan lesen untuk perniagaan serta perdagangan termasuk semua bidang," katanya.

"Pasukan kita adalah gabungan orang yang profesional dan berpengalaman, dan kini sudah bersedia untuk bertanding pada pilihan raya nanti, sedia untuk menang dan sedia berkhidmat dalam kerajaan negeri yang baharu," katanya.
'
« PREV
NEXT »

No comments

Facebook Comments APPID